Akibat! kebakaran kecil sebab 10 rumah hangus

pix_gal0

Bayan Baru, Pulau Pinang : Kira-kira 10 rumah setinggan di Kampung Sungai Nibong Kecil di sini, musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang pada 10hb ogos 2013.

Kebakaran berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika kebanyakan rumah ditinggalkan kosong kerana penghuninya pulang ke kampung meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 4.13 petang dan tiba di lokasi kejadian dalam tempoh empat minit.

Beliau berkata, kedudukan rumah yang terletak berdekatan dan tiupan angin menyebabkan api marak dengan pantas tetapi pihaknya berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 40 minit.

“Kami turut menghadapi kesukaran memadam api kerana sumber air agak jauh dan terpaksa menggunakan tangki untuk mengangkut air.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku dalam kebakaran di perkampungan yang menempatkan lebih 500 penduduk ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengumpul pemilik rumah yang terlibat dalam tragedi itu memandangkan kebanyakan mangsa tiada di kediaman kerana pulang bercuti ke kampung menyambut Aidilfitri.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian dialami mangsa masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang mangsa, Salbiah Zakaria, 50, berkata, dia bersyukur kerana sempat menyelamatkan empat cucunya yang berada dalam rumah ketika api mula marak.

Salbiah yang sudah lebih 30 tahun mendiami kawasan setinggan itu memberitahu, dia bersama cucunya sedang tidur di tingkat bawah apabila terdengar suara jirannya menjerit mengatakan ada kebakaran.

“Saya bangun dan lari bersama cucu untuk menyelamatkan diri. Namun, saya sedih kerana tidak sempat menyelamatkan barang-barang termasuk kad pengenalan,” katanya.

Kedudukan rumah yang rapat selain faktor angin menyebabkan api marak dengan cepat dan menyukarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan usaha memadam api.

Sebanyak tiga jentera bomba dari Balai Bayan dan pasukan bomba sukarela dikejarkan ke tempat kejadian.

 

Social tagging: > > > > > > > > > > > > >

Comments are closed.