Tips Cegah Kebakaran

Menangani risiko kebakaran

Sumber : Keratan Akhbar Kosmo 7/12/2005

1517293-hotel-grozny-620X310“KALAU berlaku kebakaran dalam bangunan tinggi, pergi ke tangga keselamatan. Itu adalah kawasan paling selamat kerana api tidak akan sampai ke bahagian itu, asap juga tidak akan masuk ke bahagian tangga. Kawasan ini mempunyai tekanan positif yang akan menolak asap daripada memasuki bahagian tangga menerusi blower yang berpusing,” itulah antara pesanan yang harus disemat dalam ingatan setiap orang jika berdepan dengan situasi tegang sebegitu.

Mungkin ramai tidak mengetahui, boleh dikatakan bahawa semua bangunan tinggi di ibu negara, dibina selepas tahun 1984, reka bentuk kejuruteraannya dikatakan mengikut spesifikasi ditetapkan dan diluluskan dalam Undang-undang Bangunan Seragam (UBBL) oleh pihak bomba daripada aspek keselamatan kebakarannya.

Umumnya, sistem penentang kebakaran ini dikategorikan kepada dua iaitu pasif dan aktif. Sistem pasif  bermakna ia mampu menghalang api daripada merebak ke bahagian lain. Misalnya, pintu pencegah kebakaran (fire door),fire rated roller shutter (dinding yang akan ‘turun’ apabila isyarat kecemasan berbunyi, biasanya dipasang di kompleks beli belah besar) dan dinding pemisah.

Bangunan tinggi biasanya mempunyai fire door yang mampu menahan api selama satu jam. Contohnya, pintu bilik hotel adalah fire door, kalau berlaku kebakaran, api tidak akan merebak ke bilik lain.

Sementara sistem aktif pula ialah seperti sistem semburan air automatik (sprinkler system) yang akan berfungsi apabila suhu bilik melebihi 68 darjah selsius. Kacanya akan pecah dan ia akan menyemburkan air selama hampir dua jam. Kelebihan sistem ini, ia akan berfungsi di kawasan yang berlaku kebakaran sahaja.

Amat penting latihan pengosongan bangunan diadakan. Ia bertujuan memberitahu penghuni apa yang perlu dilakukan dan tidak panik sekiranya kebakaran berlaku. Latihan harus dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun.

“Bomba tidak ada kuasa untuk mengenakan denda sekiranya pemilik bangunan tidak mengadakan latihan, tetapi kita galakkan mereka menerusi kempen kesedaran. Melalui latihan ini juga, bomba boleh mengenal pasti kelemahan, adakah sistem pencegahan dan penentang kebakaran sedia ada dapat berfungsi dengan baik atau sebaliknya,”

Bagi meningkatkan lagi tahap keselamatannya, pemilik bangunan tinggi, kilang-kilang besar dan pusat beli belah turut diwajib menubuhkan pasukan khas yang dipanggil Pasukan Bertindak Semasa Kecemasan (ERT). Jumlah anggota ERT bergantung kepada keluasan dan ketinggian bangunan, biasanya seorang petugas bagi setiap tingkat.